Categories
AGENDA NASIONAL

Daftar janji temu dos penggalak menerusi SELangkah, terhad 150 individu sehari

SHAH ALAM, 10 DIS: Warga Selangor yang ingin mendapat janji temu program Vaksin Selangor (Selvax) Booster diminta membuat pra pendaftaran menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata slot berkenaan terhad kepada 150 orang sehari di 13 klinik Selcare terbabit dalam program itu.

“Pastikan anda mengikuti tutorial pra pendaftaran dengan melayari https://bit.ly/selvaxb,” katanya di Facebook hari ini.

Dalam hantaran itu, Amirudin turut berkongsi kod baucar untuk mendapatkan dos penggalak di bawah program Selvax Booster sebagai panduan kepada orang ramai.

Pada 7 Disember lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma menerusi program Selvax Booster.

Senarai klinik yang terlibat akan dalam pelaksanaan program ini boleh didapati di laman sesawang http://selcareclinic.com/our-clinic/ atau melalui aplikasi SELangkah.

Pada 30 Jun Selangor melaksanakan Selvax Komuniti yang menyasarkan warga emas dan golongan berpendapatan rendah manakala Selvax Industri memfokuskan pekerja termasuk warga asing.

Kemudian pada 12 September Selvax bergerak dilaksanakan menggunakan bas dan van bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Pada 7 Oktober, Kerajaan Negeri mengumumkan pula program Selvax Remaja melibatkan 150,000 dos pelalian.