Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan Rayat lulus pindaan perlembagaan berkaitan MA63

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Persidangan Dewan Rakyat hari ini mencatat sejarah apabila Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga.

Rang undang-undang itu memperoleh sokongan 200 Ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan 199 undi menyokong ketika belah bahagian pada bacaan kali ketiga, sekali gus lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun memaklumkan undi belah bahagian dijalankan berikutan peruntukan 159 Perlembagaan Persekutuan menetapkan pindaan rang undang-undang itu pada bacaan kali kedua dan ketiga memerlukan undi tidak kurang dua pertiga daripada jumlah bilangan Ahli Parlimen.

Beliau berkata tiada yang tidak menyokong rang undang-undang itu selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan.

Seramai 20 Ahli Parlimen tidak hadir pada undian bacaan kali kedua, manakala 21 tidak hadir pada bacaan kali ketiga.

Ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan itu dibuat bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Sementara itu, Wan Junaidi ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata isu Sabah dan Sarawak terutamanya berhubung keperluan asas seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas sentiasa menjadi agenda utama kerajaan.

Beliau berkata perkara berkenaan sedang diteliti jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 dengan melibatkan isu seperti keselamatan negeri, sosioekonomi merangkumi penambahbaikan infrastruktur asas, pendidikan, kesihatan, infrastruktur digital serta perundangan.

Menjawab persoalan mengapa pindaan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga pada 2019, Wan Junaidi berkata ia kerana tempoh yang singkat untuk Ahli Parlimen membentangkan cadangan mereka.

“Bantahan kita adalah supaya pindaan itu juga meminda Perkara 160 tetapi masalahnya ketika itu naskah biru dibentangkan di Dewan ini, kita ada hanya 10 hari sahaja sebelum bacaan kali kedua, jadi kita tidak berupaya membentangkan pindaan kita sendiri yang memerlukan 14 hari notis.

Seramai 28 Ahli Parlimen terutamanya dari Sabah dan Sarawak mengambil bahagian pada sesi perbahasan rang undang-undang itu.

Menurut rang undang-undang itu, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada:

(a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan

(b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Pindaan juga dicadang pada Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan takrif Hari Malaysia dan menggantikan takrif Persekutuan selaras semangat Perjanjian Malaysia bertarikh 9 Julai 1963 dan menurut perjanjian berhubung pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965.

Selain itu, rang undang-undang itu juga bertujuan meminda Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan dengan menggantikan perenggan (a) Fasal 6 iaitu “berhubung dengan Sarawak, seseorang yang merupakan warganegara dan yang tergolong dalam salah satu daripada ras yang dinyatakan dalam undang-undang Negeri sebagai ras asli bagi Negeri itu” serta memotong Fasal 7.

– BERNAMA