Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Sheikh Muszaphar yakin wanita Malaysia mampu jadi angkasawan

SHAH ALAM, 5 DIS: Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yakin wanita Malaysia mampu menjayakan misi angkasawan kedua negara jika kerajaan meneruskan perancangan itu pada 2030.

Bagaimanapun, angkasawan pertama negara itu berharap wanita diberi peluang bukan atas dasar sentimen semata-mata tetapi kemampuan mereka sendiri untuk bersaing dengan lelaki.

“Mereka harus mengikuti sistem pemilihan yang sama, ramai wanita Malaysia hebat-hebat dan harus pilih yang terbaik. Saya yakin ada yang mampu melakukan sama atau lebih baik berbanding saya,” katanya ditemui pada Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Dr Sheikh Muszaphar juga berharap kerajaan menumpukan usaha melahirkan lebih ramai saintis dan pakar teknologi selain cadangan meneruskan kesinambungan projek angkasawan negara.

“Tekankan dalam aspek pendidikan STEM (Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi) kepada semua rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Dr Sheikh Muzaphar mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober 2007.

Beliau berlepas ke ISS dengan kapal angkasa Soyuz bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan Yuri Malenchenko dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan.

Doktor bedah ortopedik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berada di ISS selama 10 hari.