Categories
ADN SELANGOR

Dua masjid baharu dibina di Kota Damansara, jangka siap tempoh tiga tahun

SHAH ALAM, 14 DIS: Masjid Kota Damansara 2 dan Masjid Subang Bestari mula dibina tahun depan selepas peruntukan bernilai lebih RM13 juta diluluskan oleh kerajaan.

Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Shatiri Mansor berkata peruntukan RM13 juta untuk membina Masjid Kota Damansara 2 dalam Belanjawan Selangor 2022 manakala pembinaan Masjid Subang Bestari tersenarai dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Pembinaannya akan bermula tahun depan dan kebenaran merancang sudah diperoleh, cuma sebelum ini hanya ada isu membabitkan kewangan sahaja.

“Perkembangan ini sememangnya menggembirakan penduduk yang sudah lama menantikan pembinaan dua masjid itu,” katanya di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 pada 26 November lalu mengumumkan pembinaan tiga masjid baharu pada tahun depan.

Selain Masjid Kota Damansara 2, turut dibina Masjid Al Ehsan Kampung Tok Muda, Klang dan Masjid Kampung Sungai Serai 13, Hulu Langat.

Shatiri berkata beliau berharap pembinaan dua masjid berkenaan akan berjalan lancar dan siap mengikut jadual.

“Berdasarkan jawapan pada sidang Dewan Negeri Selangor, Masjid Kota Damansara 2 dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

“Saya rasa Masjid Subang Bestari pun sama, saya akan memantau secara dekat perkembangan pembinaan,” katanya.