Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Dua tapak pelupusan ditutup lewat mudahkan hantar sampah banjir

SHAH ALAM, 23 DIS: Dua tapak pelupusan sampah di negeri ini beroperasi sehingga 11 malam mulai hari ini bagi memudahkan penghantaran sampah sisa banjir.

Selain tapak milik Worlwide Holdings Berhad di Jeram, satu lagi tapak pelupusan dibuka Berjaya Bukit Tagar di Hulu Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

“Selain tapak pelupusan Jeram milik Worldwide Holdings dibuka hingga 11 malam mulai hari ini, saya turut mendapat komitmen tapak Berjaya Bukit Tagar yang akan beroperasi hingga 11 malam mulai esok.

“Ini bagi memudahkan penghantaran sampah sisa banjir,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter.

Siang tadi, Amirudin bersama EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han meninjau operasi pembersihan oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) di Padang Jawa, di sini.

Setakat malam tadi, sebanyak 2,064 tan metrik sampah diangkut oleh anak syarikat Kerajaan Negeri itu di lapan daerah negeri ini yang terjejas banjir.

Operasi menggunakan 487 tong Roll On Roll Off (RORO) dan 29 lori jengkaut dengan kekuatan 1,274 pekerja.