Categories
ADN BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

DUN Sungai Tua agih bantuan kemasyarakatan RM16,000

GOMBAK, 12 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menyalurkan bantuan berjumlah RM16,000 bagi memenuhi keperluan penduduk di situ.

Wakil rakyatnya berkata bantuan memanfaatkan persaudaraan gereja daerah Gombak, kelab bola sepak Batu Caves FC, waris pesakit Covid-19, pesakit jantung dan radang paru-paru serta pelajar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari sumbangan turut membantu menggerakkan program berkhatan dan gotong-royong Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Nahkoda.

“Program agihan bantuan ini sememangnya menjadi rutin wajib saya yang diatur setiap bulan. Bantuan diserahkan selepas menerima permohonan penduduk sekitar,” katanya ditemui di pejabat pusat khidmat DUN terbabit di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Gereja Daerah Gombak Rev Henry Sandanam, 50, berkata dana berjumlah RM10,000 akan digunakan untuk agihan makanan asas kepada 200 penganut Kristian memerlukan sempena Krismas.

“Saya gembira kerana beliau (Amirudin) sering turun padang ke lapangan bagi membantu masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Maah, setiap tahun bantuan sampai kepada kami (persaudaraan gereja).

“Dengan bantuan ini, kita akan tolong masyarakat Kristian yang terkesan dengan pandemik Covid-19 memandangkan Krismas bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya.

Pengerusi Kelab Bola Sepak Batu Caves FC Selvaraj, 55, pula menghargai bantuan berjumlah RM1,500 bagi membeli mesin rumput di Padang Awam Batu Caves sempena pertandingan bola sepak warga emas pada 26 Disember ini.

“Kita akan beli mesin tersebut Isnin ini supaya padang tersebut boleh digunakan untuk perlawanan bola sepak yang menyasarkan pemain berusia 50 hingga 60 tahun,” katanya.