Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Elak penularan Covid-19, Hari Natal dirai sederhana

SUBANG JAYA, 15 DIS: Bimbang penularan jangkitan Covid-19 yang masih tinggi, kebanyakan penganut Kristian memilih untuk meraikan sambutan Krismas secara sederhana.

Paderi Gereja Kota Kemuning Jeffrey Koay berkata meskipun sambutan tidak semeriah dahulu, ia bukan alasan untuk tidak bergembira dan berkumpul bersama keluarga.

Jeffrey Koay

“Tidak buat persediaan sangat, yang penting dapat berkumpul dan mengeratkan silaturahim. Ini hikmah Covid-19 apabila disambut bersama yang tersayang,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, Pengerusi Gereja St Thomas More M Gevanantham akan memanfaatkan cuti perayaan itu termasuk tahun baharu dengan membawa keluarganya bercuti ke Pulau Pinang dan Ipoh.

Beliau juga bercadang mengadakan sambutan secara kecil-kecilan di rumah bersama komuniti setempat selain melaksanakan upacara sembahyang di gereja.

M Gevanantham

“Kita akan pastikan semua aktiviti mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) supaya boleh kekang penularan Covid-19,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan kerajaan sedang memperhalusi SOP sambutan perayaan Krismas dan Thaipusam.

Jelasnya, perincian dibincangkan bersama Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Sadique dan Menteri Sumber Manusia Datuk M Saravanan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan beberapa pihak berkaitan.