Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Hampir 5,000 individu terima dos penggalak Selvax

PUCHONG, 15 DIS: Hampir 5,000 individu di Selangor menerima dos penggalak melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Booster setakat semalam, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata angka tersebut daripada lebih 33,000 orang melakukan pra daftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sejak ia mula beroperasi pada 8 Disember lalu.

“Terdapat 13 Klinik Selcare menyediakan dos booster ini dengan anggaran sebanyak 2,000 dos diberikan sehari…kita hadkan setiap klinik beri 150 dos sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program pemberian bantuan susu dan lampin pakai buang kepada penerima B40 di Dewan Serbaguna MPSJ Kampung Seri Aman di sini hari ini.

Menurut Siti Mariah, Selvax Booster turut digerakkan ke enam Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seri Kembangan, Taman Templer, Rawang, Bandar Utama, Balakong dan Tanjong Sepat.

Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma menerusi program itu mulai 8 Disember.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos vaksin boleh mendapatkannya di Klinik Selcare berdekatan.

Senarai klinik yang terlibat boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinics/ atau melalui aplikasi SELangkah.