Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Peruntuk RM10,000 kepada pangsapuri terpilih, galak komuniti bertani, jual hasil

SHAH ALAM, 5 DIS: Program Laman Hijau Strata membuka peluang kepada komuniti pangsapuri untuk menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan tambahan.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata program itu juga menceriakan persekitaran pangsapuri tanpa perlu mengeluarkan modal oleh badan pengurusan bersama (JMB).

“Kawasan terpilih menerima geran Laman Hijau Strata daripada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor bernilai RM10,000 serta bantuan peralatan pertanian.

“Saya harap komuniti pangsapuri yang terlibat program ini dan kebun komuniti sedia ada mengambil peluang menyertai pelbagai latihan asas pertanian serta bengkel usahawan tani yang disediakan,” katanya.

Beliau berucap sempena Hari Anugerah Laman Hijau Strata 2021 di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7 di sini hari ini.

Dalam majlis itu, JMB Pangsapuri Seri Bekawali di bawah pentadbiran  Majlis Perbandaran Hulu Selangor dinobat sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM8,000.

Rodziah percaya program seumpama itu di peringkat pihak berkuasa tempatan memberi impak kepada keperluan ekonomi dan kesejahteraan komuniti.

“Justeru, kita mahu meneruskan program ini pada tahun-tahun mendatang sebagai penghargaan kepada komuniti pangsapuri yang berusaha mengangkat nama ke peringkat ke lebih tinggi.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan mereka yang tidak berjaya jangan berputus asa sebaliknya terus berusaha,” katanya.

Pada 29 Disember tahun lepas, Rodziah berkata sejumlah RM120,000 diperuntuk bagi menjayakan Program Laman Hijau Strata pada tahun ini.