Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

FAS Soccer School kembali tahun depan, sasar penyertaan baharu

SHAH ALAM, 16 DIS: Program Soccer School anjuran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) diteruskan pada 2022 dengan menyasarkan lebih banyak penyertaan untuk beberapa tahun akan datang.

Ketua programnya Kanason Rajagobal berkata pihaknya berhasrat menaikkan kualiti program dan ilmu pembangunan bola sepak akar umbi selain menambah bilangan jurulatih.

“Apabila bilangan sekolah berdaftar meningkat, maka bilangan jurulatih juga akan bertambah sekali gus mewujudkan rangkaian jurulatih yang kukuh.

“Jika kita mempunyai empat jurulatih di setiap sekolah dan 20 sekolah mengambil bahagian, kita akan memiliki 80 jurulatih. Pemindahan ilmu daripada rangkaian ini akan menjadi mantap,” katanya dalam kenyataan di laman web Selangor FC semalam.

Kanason turut memaklumkan program terbabit tidak memilih bakat terbaik tetapi membangunkan lebih ramai kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dalam bola sepak.

Menurutnya, peserta didedahkan teknik seperti berlari dengan bola, menendang, menjaring dan membuat hantaran berbanding bermain untuk menang secara kompetitif.

“Antara sebahagian daripada penyampaian program dalam tempoh sebulan, kanak-kanak akan berlatih dua atau tiga minggu kemudian terlibat dengan dua minggu permainan serta pertandingan,” katanya.

Sejak dilancarkan pada September 2019, lima sekolah terlibat dalam program FAS Soccer School bagi menyediakan kanak-kanak dengan latihan bola sepak secara konsisten.

Program itu ditangguhkan seketika berikutan pandemik Covid-19 dan diteruskan semula tahun depan dengan sasaran lebih banyak sekolah terlibat.