Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Galeri Shah Alam rancang pameran terbuka tahun hadapan

SHAH ALAM, 10 DIS: Galeri Shah Alam merancang penganjuran empat pameran secara fizikal pada tahun hadapan, kata pengarahnya.

Alina Abdullah berkata dalam masa sama pihaknya juga bakal melaksanakan bengkel serta seminar secara maya bagi memberi peluang kepada pengkarya luar Selangor untuk sertainya.

“Kita berpenglaman dua tahun lakukan aktiviti termasuk pameran secara dalam talian. Jika PKP ( Perintah Kawalan Pergerakan) berulang, kita pilih kaedah ini.

Pengarah Galeri Shah Alam Alina Abdullah bercakap kepada media selepas majlis perasmian Pameran Terbuka Galeri Shah Alam pada 9 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Namun secara jujurnya pameran terbuka dan fizikal lebih memberi kepuasan kerana kita boleh lihat serta menghayati hasil karya,” katanya ditemui pada majlis meraikan penerima Anugerah Insentif Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2021.

Susulan penularan Covid-19 sejak Mac tahun lalu, Galeri Shah Alam ditutup beberapa kali sementara waktu sebagai langkah mengekang wabak.

Galeri terletak di Seksyen 14 di sini kembali dibuka pada 10 September lalu selepas Selangor memasuki fasa empat Pelan Pemulihan Negara namun terhad kepada lawatan janji temu.