Categories
AGENSI SELANGOR

Golongan M40 turut terjejas akibat Covid-19, perlu disantuni

SHAH ALAM, 14 DIS: Pandemik Covid-19 bukan sahaja memberi kesan kepada kelangsungan hidup golongan B40, malah mereka di bawah kategori M40 turut terjejas dan perlu disantuni, kata Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Beliau berkata meskipun dilihat berharta dan seperti mampu meneruskan hidup tatkala dunia dibelenggu pandemik Covid-19, hasil tinjauan LZS sejak kebelakangan ini mendapati realitinya adalah golongan M40 juga mengalami kesukaran dalam menjalani kehidupan keluarga.

“Apabila LZS pergi ke rumah mereka daripada golongan M40, kita mendapati bahan makan mentah tidak ada kerena mereka tidak ada duit untuk membeli keperluan asas.

“Ketua keluarga golongan M40 yang terjejas pendapatan mungkin masih ada lagi harta tetap, namun aset cair dan aliran tunai tidak ada. Mereka memerlukan tunai untuk membeli makanan, pembelanjaan harian dan sebagainya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Sabirin berkata pandemik yang melanda negara ini telah mengakibatkan pengurangan atau lebih teruk lagi, kehilangan sumber pendapatan yang berpunca daripada ibu bapa atau seorang daripada mereka diberhentikan kerja.

Sementara itu, beliau berkata dalam inisiatif untuk membantu mereka yang terjejas namun bukan daripada golongan asnaf, LZS telah menyantuni lebih daripada 17,000 orang yang melibatkan peruntukan sebanyak RM8 juta setakat November tahun ini.

Mohd Sabirin berkata dua bantuan utama yang diberikan untuk mengurangkan beban hidup kepada golongan berkenaan adalah bantuan tunai sekali beri RM500 setiap seorang kepada 4,000 penerima dan bantuan bakul makanan kepada kira-kira 9,000 penerima.

Beliau berkata mereka yang tidak diklasifikasikan sebagai asnaf fakir miskin atau dikenali sebagai golongan rentan akan terus disantuni oleh LZS.

Berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial, sejumlah 140,608 individu dilaporkan hilang kerja sejak Mac 2020 hingga 20 Ogos lepas, iaitu ketika tempoh negara dilanda wabak Covid-19.

– BERNAMA