Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Guna bantuan RM10,000 laksana haji untuk arwah abang

HULU LANGAT, 30 DIS: Waris mangsa banjir yang terkorban berhasrat menggunakan bantuan RM10,000 diterima daripada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan badal haji bagi pihak abangnya.

Saadiah Samsudin, 42, berkata arwah abangnya Hashim, 44, antara salah seorang mangsa yang terkorban kerana lemas kira-kira jam 2 pagi pada 19 Disember lalu.

“Abang belum berkahwin lagi dan tinggal bersama anak saya. Anak amat terkesan dan fobia kerana melihat sendiri pemergian bapa saudaranya.

“Saya bercadang untuk menggunakan bantuan ini untuk kegunaannya sendiri iaitu badal haji, fidyah dan pusaranya. Terima kasih kepada semua pihak kerana memberikan bantuan,” katanya yang menetap di Dusun Tua di sini.

Suri rumah Norsila Zulkamal, 50, berkata beliau akan menggunakan wang bantuan RM1,000 untuk membeli kelengkapan membaiki rumah didiami di Sungai Serai seperti atap dan siling.

Norsila Zulkamal, 50. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Rumah pusaka saya dan adik Norhamizah musnah sepenuhnya serta bantuan diterima sememangnya meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Sebelum ini, Amirudin menjangka bantuan terbabit selesai diagih hujung Januari depan.