Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya dua kes gangguan air akibat pencemaran direkod tahun ini

SHAH ALAM, 13 DIS: Hanya dua kes gangguan bekalan air akibat pencemaran direkodkan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) tahun ini berbanding tujuh kes tahun lalu.

Kedua-dua kes di Sungai Semenyih pada September lalu menyebabkan gangguan air tidak berjadual dan memberi kesan kepada pengguna, kata ketua pegawai eksekutifnya.

“Tindakan ini sama sekali tidak boleh diterima. Kita tidak akan bertoleransi dengan pihak yang membuat pencemaran dengan membuang sisa toksik ke dalam sungai,” kata Suhaimi Kamaralzaman.

Bercakap dalam sidang media secara maya petang tadi, beliau berkata mustahil untuk mengelak gangguan bekalan air tetapi syarikat itu berusaha mengatasi pencemaran.

“Kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada tuah dan harapan, sebaliknya ia memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya lagi.

Pada 3 September, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Wilayah terjejas ialah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).