Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Inisiatif Peduli Rakyat dijenama Iltizam Selangor Penyayang seiring penambahbaikan

SHAH ALAM, 3 DIS: Penjenamaan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) kepada Iltizam Selangor Penyayang (ISP) seiring dengan penambahbaikan terhadap beberapa program sebelum ini.

Dato’ Menteri Besar berkata selain mempunyai beberapa program baharu, ISP diharap dapat mengembangkan budaya kasih sayang dalam kalangan warga Selangor.

“Adakah kita tukar nama ini sesuka hati?…pastinya tidak kerana kita melakukan penjajaran, pemutihan, semak silap terhadap semua program dan selepas siap semuanya pergabungan, pengguguran dan pertambahan…jadi akhirnya kita ada program yang komprehensif.

“Selepas menukar konsep kepada ISP kerana azam dan cita-cita kita harap budaya penyayang dapat dikembangkan di negeri ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menggulung perbahasan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sebelum ini, ketua pembangkang berharap Kerajaan Negeri mengekalkan nama IPR berbanding menukarkannya kepada ISP.

Datuk Rizam Ismail berkata rakyat sudah sedia maklum mengenai IPR dan penjenamaan semula nama dikhuatiri menyebabkan mereka menjadi tidak jelas terhadap sesuatu inisiatif.