Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Inisiatif pemeriksaan mata ringan beban keluarga ramai anak

SHAH ALAM, 7 DIS: Inisiatif pemeriksaan kesihatan mata percuma kepada pelajar mampu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa untuk mendapatkan perkhidmatan sama di klinik swasta.

Dr Norazlina Mohd Kiram, 47, menyambut baik usaha Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif melalui Belanjawan #Selangor 2022 berikutan tiga anaknya yang berusia antara lapan hingga 17 tahun memakai kaca mata.

“Saya tidak nafikan penggunaan gajet punca anak saya memakai kaca mata. Kalau boleh mahu elakkan tetapi tiada pilihan dan terpaksa pakai supaya penglihatan jelas.

Mohd Khairul Anwar Ismail, 41, ditemui ketika tinjauan orang ramai mengenai Inisiatif pemeriksaan kesihatan mata percuma kepada pelajar dalam Belanjawan #Selangor2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Jadi, inisiatif dilakukan Selangor memang sangat wajar dan bagus kerana sekurang-kurangnya boleh bantu mana-mana ibu bapa yang memiliki ramai anak memakai kaca mata,” katanya ditemui di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia turut mencadangkan kaedah pelaksanaannya diperincikan supaya tiada individu tercicir mendapat manfaat tersebut.

“Wakil rakyat terlibat perlu uar-uarkan program ini di media sosial dengan menyertakan jumlah kuota disediakan selain mengenal pasti lebih awal individu yang layak,” katanya.

Bagi Juruteknik, Mohd Khairul Anwar Ismail, 41, peluang itu akan dimanfaat sebaik mungkin memandangkan kali terakhir anak sulungnya yang berusia 14 tahun membuat pemeriksaan mata pada tahun lalu.

“Sepanjang pandemik, anak saya belajar secara dalam talian dan berhadapan dengan komputer. Sudah tentu memberi kesan terhadap matanya kerana dia pemakai kaca mata sejak darjah enam lagi.

“Dengan inisiatif ini, saya yakin mampu menjimatkan kos ahli keluarga yang kurang bermampuan dan memiliki anak ramai, malah saya juga boleh pantau kesihatan matanya,” katanya.

Belanjawan #Selangor 2022 dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 November lalu memperuntukkan RM200,000 bagi pemeriksaan kesihatan mata untuk anak-anak di seluruh negeri.

Inisiatif itu susulan fasa pandemik Covid-19 yang memaksa anak-anak menjalani pengajian dan kelas akademik secara maya sehingga terdapat kalangan mereka berhadapan dengan alat peranti selama berjam-jam.