Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jakess berjaya selesai 161 kes sulh secara dalam talian

SHAH ALAM, 14 DIS: Sejumlah 161 kes sulh berjaya diselesaikan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) secara dalam talian menerusi majlis sulh sehingga September lalu.

Ketua Hakim Syarie Dato’ Mohammad Adib Husain berkata 100 daripadanya mencapai kata sepakat berbanding 59 kes lagi dan selebihnya tidak hadir proses perbincangan bersama pegawai sulh.

“Antara diterima berkaitan kes selepas perceraian, pembayaran nafkah anak, hak jagaan, iddah, harta sepencarian dan mutaah.

“Majlis sulh dikendalikan pegawai berjaya selesaikan separuh daripada kes didaftarkan di mahkamah. Kini majlis kembali secara fizikal berbanding sebelum ini secara dalam talian sepanjang pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada majlis pelancaran komuniti sulh dan rakan bahagian sokongan keluarga (BSK) di Dewan Muktamar, Jakess hari ini yang turut dihadiri Ketua Pendaftarnya Salehan Yatim.

Mohammad Adib menjelaskan majlis sulh diuruskan pegawai itu menjimatkan masa dan mempermudahkan urusan mahkamah.

“Contohnya berkaitan tuntutan harta yang mengambil masa kira-kira setahun tetapi dengan adanya majlis sulh urusan dapat diselesaikan kurang daripada dua bulan atau 45 hari bergantung pada kes berdaftar,” katanya.

Terdahulu, Jakess melantik 235 individu sebagai komuniti sulh (perdamaian) dan rakan bahagian sokongan keluarga (BSK).

Sejumlah 95 terdiri daripada imam masjid manakala 140 pula merupakan jawatankuasa wanita masjid yang berfungsi membantu menjadi perunding menyelesaikan masalah kekeluargaan.