Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Jejambat Bandar Saujana Putra dijangka siap Mei 2022

SHAH ALAM, 3 DIS: Jejambat Bandar Saujana Putra yang pembinaannya tergendala akibat pandemik Covid-19 dijangka siap pada 31 Mei tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jejambat itu sepatutnya siap September lalu namun banyak kerja tergendala disebabkan keperluan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Antara kelewatan penyiapan jejambat di Bandar Saujana Putra ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersyarat (PKPB) dilaksana kerajaan semasa pandemik.

“Kontraktor juga mengalami kesukaran menjalankan kerja-kerja di tapak kerana perlu mematuhi SOP. Antaranya mendapatkan surat notifikasi beroperasi dari Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

“Kontraktor juga perlu mematuhi kapasiti pekerja dibenarkan dan memastikan pekerja lengkap dua dos vaksinasi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Banting Lau Weng San mengenai status pembangunan jejambat yang dibina pada 2019 dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau berkata kenaikan harga barang mentah serta kekurangan bekalan bahan binaan kerana kilang ditutup sepanjang PKP dan isu berkaitan pekerja perlu dikuarantin jika dijangkiti Covid-19 juga menjadi faktor kelewatan.

Malah katanya, cecuruk ‘bored pile’ yang tidak sesuai mengikut kondisi tanah dan perlu ditukar kepada cerucuk ‘spun pile’ juga menjadi punca jejambat berkenaan tidak dapat disiapkan mengikut perancangan.

“Setelah meneliti faktor-faktor kelewatan tersebut, Seribu Baiduri Sdn Bhd disyorkan oleh pihak konsultan telah meluluskan lanjutan masa (EOT) No.1 selama 243 hari.

“Tarikh siap terbaru (EOT No.1) adalah jangkaan pada 31 Mei 2022,” katanya.

Pada 12 April 2019 Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan kira-kira RM60 juta untuk membina jejambat baharu bagi mengatasi masalah kesesakan di kawasan tersebut.

Projek itu bakal memberi manfaat buat kira-kira 65,000 penduduk di situ serta pengguna Lebuhraya Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), dari arah Bandar Saujana Putra.