Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ: Gantian dokumen percuma kepada mangsa banjir

PUTRAJAYA, 25 DIS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan gantian dokumen penting seperti Lesen Memandu Malaysia (LLM), Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Sijil Pemilikan Sementara (VOC) secara percuma, kepada mangsa banjir di seluruh negara.

Menurut kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasmi JPJ, inisiatif ‘touch point’ jabatan itu khusus untuk semua mangsa banjir di lokaliti terjejas yang mengalami kerosakan atau kehilangan dokumen berkenaan.

“Pemilik perlu membuat laporan polis mengenai kehilangan atau kerosakan dokumen dan hadir sendiri membawa dokumen yang rosak bagi mendapatkan gantian di mana-mana pejabat kaunter JPJ.

“Bagi yang kehilangan dokumen asal pula, mereka perlu membawa salinan laporan polis atau Borang Pendaftaran Mangsa Bencana yang dikeluarkan Pejabat Daerah atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai bukti,” menurut kenyataan itu.

JPJ memaklumkan pihaknya juga akan memberi kelonggaran dari segi pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan, terhadap kenderaan perdagangan atau persendirian yang terlibat dalam operasi menyelamat serta membawa bekalan untuk mangsa banjir, sehingga bencana itu terkawal sepenuhnya.

Menurut JPJ, tindakan tersebut selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang turut mendorong jabatan itu untuk sentiasa siap siaga menghulurkan bantuan dalam bentuk tenaga kerja serta aset ke lapangan.

“Pihak JPJ dan seluruh warga kerja mendoakan agar semua mangsa banjir diberi kekuatan dan dipermudahkan dalam segala urusan,” menurut kenyataan jabatan itu lagi.

– BERNAMA