Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan turun kepada 18,126 orang

SHAH ALAM, 23 DIS: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 103 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini menurun kepada 18,12 orang setakat jam 11.04 malam ini.

Perkara itu dimaklumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitternya malam ini.

“Kerja-kerja kutipan sisa serta pembersihan rumah sedang giat dilaksanakan supaya mangsa banjir boleh mula kembali ke rumah,” katanya.

Siang tadi, Amirudin bersama EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han meninjau operasi pembersihan sampah pukal oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) di Padang Jawa di sini.

Sebanyak 2,376 tan metrik sampah diangkut oleh anak syarikat Kerajaan Negeri itu di lapan daerah yang terjejas banjir setakat jam 9 malam ini menggunakan 494 lori dan 39 mesin pengorek.

Beliau turut meninjau suasana banjir di Hulu Langat dan mengumumkan bantuan awal RM2 juta melalui peruntukan Selangor Bangkit untuk membangunkan semula daerah itu.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.