Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir kilat di Klang lebih 1,000 pagi ini

SHAH ALAM, 18 DIS: Jumlah mangsa akibat banjir kilat beberapa kawasan di Klang meningkat kepada 1,011 orang sehingga jam 7 pagi ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata semua mangsa ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong, Masjid As-Islah dan Masjid Al-Ubudiah, lapor Harian Metro.

“SK Telok Gong merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 681 mangsa, setakat ini. Kawasan itu paling teruk dilanda banjir kilat.

“256 mangsa ditempatkan di PPS Masjid As-Islah dan 74 lagi di Masjid Al-Ubudiah. Operasi masih dijalankan ketika ini,” kata Norazam Khamis ketika dihubungi.

Semalam, sebanyak 20 kawasan di Klang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan dengan kawasan Telok Gong antara yang paling terkesan.

Norazam berkata, kawasan lain yang terjejas adalah Pulau Indah, Pandamaran, Bandar Botanik, Telok Gadong, Bandar Sultan Suleiman dan Bukit Tinggi.