Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak berusia lapan tahun kes kedua Omicron di negara ini

SHAH ALAM, 16 DIS: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun menjadi kes kedua jangkitan varian Omicron di negara ini, kata menteri kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata kanak-kanak warganegara ini yang tinggal bersama keluarga di Lagos, Nigeria disahkan positif varian itu pada 14 Disember.

Dia bersama keluarga tiba di Malaysia pada 5 Disember lalu dari Lagos dengan penerbangan transit di Doha, Qatar, katanya dalam sidang media hari ini.

Kes pertama varian Omicron disahkan pada 2 Disember melibatkan pelajar antarabangsa yang tiba dari Afrika Selatan. Kedua-dua kes ini merupakan jangkitan import dari luar negara.

Menurut Khairy kanak-kanak berkenaan didapati positif Covid-19 pada 7 Disember dan menjalani kuarantin di rumah.

“Kontak rapat kepada kes terdiri daripada ibu, adik perempuan, bapa dan pemandu teksi yang membawa kes dan keluarganya dari KLIA ke tempat kediaman.

“Semua ujian yang dijalankan ke atas ibu dan adik perempuannya iaitu ujian sebelum berlepas ke Malaysia, semasa ketibaan, pada hari kelima dan pada hari kesebelas menunjukkan keputusan negatif,” katanya.

Katanya bapa kanak-kanak itu pula tiba di Malaysia pada 12 Disember dan menjalani arahan kuarantin di sebuah stesen kuarantin swasta dan ujian dilakukan ke atasnya negatif.

Dalam pada itu jelas Khairy, terdapat seramai 35 orang kontak dalam penerbangan dan hasil ujian ke atas kesemua mereka negatif.

“Kementerian bersama Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah meneruskan siasatan lanjut termasuk siasatan kontak semasa dalam penerbangan. Buat masa ini, punca jangkitan kes masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam pada itu Khairy memberitahu terdapat 18 lagi kes menunjukkan kemungkinan varian Omicron dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada jujukan genom penuh.

Katanya keputusan dijangka diperoleh pada 17 Disember.