Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

KDEBWM angkut 1,073 tan sampah dari kawasan terjejas banjir

SHAH ALAM, 22 DIS: KDEB Waste Management (KDEBWM) mengangkut sebanyak 1,073 tan sampah dan tinggalan banjir di kawasan yang terjejas bencana setakat semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembersihan menggunakan 457 tong sampah besar (Roro) dan 25 pengorek kaut dengan kekuatan 1,457 pekerja.

“Kerajaan Negeri akan melipat gandakan usaha membantu penduduk membersihkan rumah,” maklumnya di Twitter sebentar tadi.

Anak syarikat Kerajaan Selangor itu membersihkan kawasan terjejas akibat banjir teruk di beberapa daerah secara berperingkat sejak Ahad lalu.

Pada Isnin, KDEBWM memaklumkan operasi kutipan sampah mengambil sedikit masa untuk selesai berikutan penutupan jalan ke tapak pelupusan.

Susulan itu, beberapa kawasan bakal mengalami gangguan pengoperasian antaranya Klang, Shah Alam, Kajang, Ampang Jaya dan Kuala Langat.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.