Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KDEBWM dijangka gerak 200 lori bersih kawasan banjir di Sri Muda

SHAH ALAM, 31 DIS: KDEB Waste Management (KDEBWM) dijangka menambah sehingga 200 lori untuk menjalankan kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Muda di sini hari ini.

Dato Menteri Besar menerusi Facebook memaklumkan setakat 9.50 pagi tadi agensi tersebut telah menempatkan 180 lori pembersihan di kawasan berkenaan.

“Dijangkakan 200 lori pembersihan akan digerakkan ke Taman Sri Muda hari ini bagi mengeluarkan sampah-sampah dari kediaman dan jalan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Semalam, Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir berkata pihaknya menjalankan kerja pembersihan pascabanjir secara besar-besaran di Taman Sri Muda agar proses tersebut dapat diselesaikan segera.

KDEB Waste Management (KDEBWM) menggunakan lori roro (roll on roll off) bagi melancarkan kerja pembersihan pascabanjir di kawasan sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam pada 31 Disember 2021. Foto Facebook KDEBWM

Menurutnya, tenaga kerja dan jentera akan ditambah ke kawasan itu apabila operasi pembersihan di daerah lain telah berakhir.

Sehingga semalam, kerja pembersihan bermula 25 Disember di situ mencapai kira-kira 35 hingga 40 peratus dan bakinya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.