Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM peruntuk RM30,000 beli kelengkapan sekolah murid susah, anak yatim

PUCHONG, 17 DIS : KDEB Waste Management (KDEBWM) memperuntuk RM30,000 untuk menyediakan kelengkapan sesi persekolahan pada tahun depan, kata pengurus besar operasinya.

Mohd Idris Mohamed Yusof berkata hampir 200 anak yatim dan pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara, Seri Setia dan Sekinchan menerima manfaat tersebut.

“Setakat ini kita salurkan di tiga DUN ini terlebih dahulu, kita sedang meneliti sekiranya ada menerima permohonan dari kawasan lain pada masa akan datang, jika ada keperluan kita pertimbang untuk bantu.

“Kita harap sumbangan ini memberi semangat kepada pelajar kurang berkemampuan untuk meneruskan sesi persekolahan pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada 64 anak yatim dan pelajar DUN Kinrara di Dewan Serbaguna MBSJ BK5, Kinrara di sini hari ini.

Turut hadir EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru merangkap Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han.

Pada masa sama, KDEBWM bercadang akan menganjurkan pelbagai aktiviti mendidik pelajar sekolah mengenai kempen kesedaran menjaga alam sekitar pada masa akan datang.

“Selain sumbangan barang sekolah, ini juga salah satu program tanggungjawab sosial korporat kita bagi mendidik dan beri kesedaran kepada pelajar untuk menjaga kebersihan,” katanya.