Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

KEDBWM gerak operasi besar-besaran, tingkat kapasiti bersih sampah banjir di Sri Muda

SHAH ALAM, 30 DIS: KDEB Waste Management (KDEBWM) menjalankan kerja pembersihan pascabanjir secara besar-besaran di Taman Sri Muda di sini agar proses tersebut dapat diselesaikan segera.

Pengarah urusannya berkata pihaknya akan menambah tenaga kerja dan jentera ke kawasan itu apabila operasi pembersihan di daerah lain telah berakhir.

“Kita cuba tingkatkan kapasiti, seperti mana di kawasan lain memerlukan semua tenaga dan jentera tetapi kalau telah selesai seperti di Kuala Selangor atau Kajang dan sebagainya, kita akan pindahkan ke sini.

“Ini kerana Taman Sri Muda melibatkan kawasan yang besar dan kita sudah rancang dengan pembahagian beberapa zon mengikut kawasan perumahan dan kilang, kita akan jalankan operasi ini dengan cara terbaik,” Ramli Mohd Tahir ketika ditemu bual menerusi Facebook Media Selangor hari ini.

Beliau berkata setakat ini kerja pembersihan bermula 25 Disember di Taman Sri Muda telah mencapai kira-kira 35 hingga 40 peratus dan bakinya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu lagi.

Menurutnya, KDEBWM menggunakan 80 hingga 90 lori roro (roll on roll off) setiap hari dan yang lain antaranya 26 lori sewa, 18 ‘backhoe’ dan empat eskavator untuk mengeluarkan sampah meliputi hampir 10,000 rumah dan 200 kilang di sini.

“Kita telah gunakan semua yang ada termasuk diperoleh dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan swasta. Sekiranya ada pihak yang ingin terus membantu dialu-alukan kerana kita memang memerlukan untuk mempercepatkan operasi ini,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.