Categories
AGENDA SUKANKINI

Kejohanan Dunia: Zii Jia terselamat ‘kejutan’ pemain Brazil

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terselamat daripada ‘kejutan’ pemain Brazil, Ygor Coelho apabila berjaya memenangi perlawanan dengan rubber set untuk menempah slot ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol hari ini.

Walaupun memenangi set pertama 21-14, juara All England 2021 itu mensia-siakan peluang untuk menamatkan permainan lebih awal apabila membenarkan pemain ranking 50 dunia itu menewaskannya pada set kedua 24-22 sebelum pemain Malaysia itu kembali tenang untuk muncul pemenang dalam set penentuan 21-14.

Zii Jia, pemain pilihan keenam dalam kejohanan itu, akan bertemu pemenang antara pilihan kesembilan Kanta Tsuneyama dari Jepun atau pemain Denmark, Hana-Kristian Solberg Vittinghus selepas ini.

Bagaimanapun, tuah tidak menyebelahi pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren selepas disingkirkan pemain India, H S Prannoy 21-7, 21-17.

Sementara itu, pemenang pingat perak beregu lelaki Olimpik Rio 2016 Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang kembali digandingkan memulakan kempen mereka dengan penuh bergaya apabila menewaskan Hiroki Okamura-Masayuki Onadera dari Jepun, 21-15, 22-24, 21-16.

– BERNAMA