Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Keluarga mangsa banjir terkorban dapat RM10,000, isi rumah RM1,000

SHAH ALAM, 21 DIS: Kerajaan Negeri memperuntuk RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah mulai Sabtu.

Selain pemulihan infrastruktur, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban.

Beliau menjelaskan sumbangan RM1,000 turut diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.

“Mangsa banjir akan terima RM2,000 daripada kerajaan persekutuan dan Selangor. Kita tidak pilih bulu siapa yang dapat bantuan ini sama ada mereka di pusat pemindahan rasmi atau tidak.

“Bantuan juga diberikan kepada mereka yang masih berada di rumah, kita akan kenal pasti,” katanya dalam sidang media di pusat pentadbran rasmi Kerajaan Negeri hari ini.

Amirudin menambah seramai 17 individu disahkan meninggal dunia setakat ini iaitu 10 di Klang, empat di Sepang manakala baki di Hulu Langat dan punca kematian sedang dikenal pasti.

“Kita sedang kenal pasti sama ada disebabkan banjir atau mungkin kekurangan ubat dan sebagainya. Saya ucapkan takziah dan harap keluarga dapat bersabar,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata beberapa daerah masih menunjukkan kenaikan paras air antaranya Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sepang dengan misi menyelamat masih diteruskan.

Beliau menjelaskan ada sebilangan kecil keluarga yang memilih untuk tinggal di kediaman masing-masing, justeru mereka diberikan bakul makanan untuk memasak.