Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan digesa agih bantuan secara terus kepada aktivis seni budaya

SHAH ALAM, 10 DIS: Kerajaan digesa menyalurkan bantuan kewangan secara terus kepada aktivis seni budaya di lapangan bagi merancakkan perkembangan sektor itu seperti di Taiwan.

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2011 (SEA Write) berkata amalan penyaluran dana kepada agensi atau badan tertentu seperti sekarang hanya membantutkan usaha memeriahkan seni budaya.

Menurut Syed Mohd Zakir Syed Othman yang lebih dikenali sebagai SM Zakir, ini kerana tidak semua dana itu digunakan bagi menjalankan program dan menerbitkan buku kerana perlu menampung bayaran pengurusan.

“Bayangkan 80 peratus daripada dana disalur untuk pengurusan, berapa yang tinggal bagi menjalankan aktiviti?

“Lebih baik sekiranya dana disalur terus kepada aktiviti yang mempunyai jiwa dan raga untuk bergerak, sudah tentu hasilnya lebih baik,” katanya pada Program Hati dan Minda Sasterawan sempena Pesta Buku Selangor semalam.

Tambah SM Zakir, Taiwan yang mengamalkan pemberian terus bantuan kepada aktivitis yang bergerak aktif di bawah tanpa melalui orang tengah berjaya menghidupkan seni budayanya.

“Industri di sana hidup sebab bantuan terus kepada aktivis, mereka ini yang bergerak dengan menerbitkan buku dan karya-karya untuk bacaan masyarakat.

“Di sana cukup meriah hingga ada kedai buku dibuka 24 jam kerana ada permintaan,” katanya.