Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan dikritik ‘lembab’, HARAPAN gesa sidang khas Parlimen bahas isu banjir

SHAH ALAM, 31 Dis – Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa sidang khas Parlimen diadakan berikutan kritikan orang ramai terhadap reaksi lembab pentadbiran kerajaan persekutuan.

Majlis Presiden HARAPAN berkata orang ramai menerusi media sosial mengkritik jemaah menteri sebagai “lembab” atau dilihat “wayang” tanpa benar-benar membantu mangsa banjir.

“Oleh itu, Majlis Presiden HARAPAN berpendirian bahawa perdana menteri dan anggota jemaah menteri wajib memberi penjelasan penuh dalam satu sidang khas Parlimen khusus berhubung banjir besar ini,” menurut kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Datuk Seri Madius Tangau.

“Kesan banjir besar dari segi kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa hampir 50 orang kali ini ketara dan mengguris hati.

“Malah, fenomena ini telah membuka mata kita semua kepada realiti bahawa perubahan iklim dan aktiviti manusia khususnya pembalakan berleluasa dan pembangunan yang tidak mampan akhirnya memberi kesan yang amat negatif buat rakya,”  kata kenyataan itu.

Majlis Presiden HARAPAN turut berterima kasih kepada petugas, sukarelawan dan dermawan yang membantu misi menyelamat, membersih dan memulihkan lokasi terjejas banjir sejak 18 Disember.

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan peralatan dapur kepada mangsa banjir di Kampung Ismail, Ampangan, Seremban pada 27 Disember 2021. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Sementara itu,  Anwar mengulangi gesaan terhadap kerajaan untuk bertindak pantas menyelesaikan masalah yang dihadapi mangsa banjir di negara ini.

Katanya, kerajaan sehingga kini tidak memberi maklum balas terhadap saranannya untuk menangguhkan pelaksanaan projek mega dan menyalur peruntukan tersebut bagi menampung keperluan rakyat terjejas banjir.

“Kerajaan dilihat seolah-olah tidak serius dalam membela dan membantu mangsa-mangsa banjir,” kata beliau di Facebook kelmarin.

Pada 27 Disember, Anwar mencadangkan kerajaan supaya menangguhkan semua projek mega dan menggunakan peruntukan besar tersebut bagi menampung keperluan mangsa banjir.

“Tangguh dahulu projek raksasa, ECRL (projek Laluan Rel Pantai Timur), DNB (Digital Nasional Berhad) puluh-puluh bilion, tangguh dan bayar rakyat dahulu,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Sepanjang tempoh  dua minggu selepas kejadian banjir, Anwar telah turun padang melawat mangsa banjir dan menyampaikan pelbagai bentuk bantuan termasuk peralatan dapur dan makanan.

Lokasi yang dilawati beliau antaranya Taman Sri Nanding Hulu Langat; Kampung Ismail Ampangan, Seremban dan Bentong, Pahang.

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan bantuan dapur kepada mangsa banjir di Bentong, Pahang pada 26 Disember 2021. Foto Facebook Anwar Ibrahim