Categories
AGENSI SELANGOR

Kerajaan Negeri sumbang lebih RM250,000 jayakan Pesta Buku Selangor

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan Selangor menyumbang lebih RM250,000 bagi menjayakan Pesta Buku Selangor 2021 yang berlangsung selama 11 hari bermula hari ini.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berkata jumlah itu diberikan menerusi subsidi bayaran tapak gerai kepada 121 pempamer.

“Kita sebagai penganjur faham kesukaran ekonomi pempamer jadi kali ini harga tapak ditawarkan rendah antara RM2,000 hingga RM3,000 berbanding sebelum ini dari RM3,600 ke RM5,300.

Pengunjung hadir bersama keluarga pada hari pertama Pesta Buku Selangor 2021 di Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Harga selebihnya itu ditanggung Kerajaan Selangor. Ini meringankan beban pempamer dan membantu menjana pendapatan. Bayaran dibuat terus kepada vendor,” katanya kepada SelangorKini.

Mastura berkata pihaknya menghargai sumbangan berkenaan dan menganggap ia sebagai langkah menyokong budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Pesta diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) sehingga 12 Disember depan berlangsung dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menampilkan beberapa tokoh dan selebriti terkenal antaranya angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.