Categories
ADN SELANGOR

Kerajaan persekutuan didesak beri peruntukan baiki jalan Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 6 DIS: Wakil rakyat Pelabuhan Klang mendesak kerajaan persekutuan memberi peruntukan membaiki jalan di kawasan itu atau pihaknya mengadakan mogok sekiranya permintaan itu tidak diendahkan.

Azmizam Zaman Huri berkata ketika Pakatan Harapan (HARAPAN) menerajui negara sebanyak RM50 juta diperuntuk, namun selepas bertukar pentadbiran peruntukan menyelenggara tidak lagi diberikan.

“Selepas itu pada 2020, 2021 dan tahun depan tiada lagi pengumuman peruntukan untuk jalan-jalan ini oleh kerajaan persekutuan.

“Mohon dewan yang mulia ini desak kerajaan persekutuan kerana rakyat tidak tahu jalan-jalan persekutuan memerlukan peruntukan kerajaan persekutuan sebaliknya Kerajaan Selangor dipersalahkan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Azmizam berkata beliau difahamkan sebanyak RM88 juta diperlukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor untuk menyelenggara jalan terbabit.

“Sekiranya menteri kerja raya, menteri pengangkutan tidak mahu memberi peruntukan kepada negeri melalui JKR Selangor,  kita akan melancarkan mogok besar-besaran,” katanya.