Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan Selangor tidak akan roboh Stadium Shah Alam

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan Negeri menolak dakwaan segelintir pihak bahawa terdapat perancangan untuk merobohkan Stadium Shah Alam di Seksyen 13 di sini.

EXCO sukan Mohd Khairuddin Othman berkata sehingga kini tiada sebarang kertas cadangan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) bagi melaksanakan perkara tersebut.

“Desas-desus ini banyak ada kata roboh, ada kata bina dulu baru roboh. Tetapi apa yang saya boleh nyatakan secara yakin kepada ketua pembangkang sehingga tarikh hari ini tidak ada satu kertas yang dimasukkan dalam MMKN berkaitan merobohkan Stadium Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dibangkitkan ketua pembangkang Datuk Rizam Ismail ketika menggulung perbahasan Belanjawan Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Khairuddin berkata Unit Projek Khas (UPK) telah ditubuhkan untuk membuat kajian serta membentangkannya kepada Kerajaan Negeri berkaitan cadangan terbaik membaik pulih stadium itu.

“UPK telah ditubuhkan pada 9 Jun 2021 dan dijangka membentangkan cadangan serta maklum balas dalam masa terdekat,” katanya.

Pada 21 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar berkata Stadium Shah Alam yang berusia lebih 20 tahun bakal berwajah baharu menerusi kerja naik taraf keseluruhan kompleks itu bermula tahun depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses itu termasuk dalam cadangan pembangunan semula kawasan sekitarnya yang diusahakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Katanya, kos baik pulih stadium yang dibuka pada 1994 itu dijangka menelan belanja sehingga RM350 juta berdasarkan penilaian Jabatan Kerja Raya.