Categories
AGENDA NASIONAL

Kerja reka bentuk LRA Sungai Rasau siap, pembangunan libat kerajaan persekutuan

SHAH ALAM, 7 DIS: Kerja-kerja reka bentuk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau telah disiapkan dan sedang dalam penilaian untuk pemberian tender.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata bagaimanapun pembinaan LRA itu membabitkan kerjasama kerajaan persekutuan untuk kerja sumber air di hulu sungai sebelum masuk ke muka sauknya.

“Kerja-kerja ini dibuat selain daripada proses pembinaan LRA. Setakat ini, kita sedang dalam perbincangan antara Kerajaan Negeri dan persekutuan bagi kerja hulu muka sauk,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung status pembangunan LRA Sungai Rasau pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurutnya, pembinaan LRA Sungai Rasau melibatkan kapasiti pengeluaran 1,400 juta liter sehari iaitu 700 juta liter bagi fasa pertama dan kedua.

“Bagi fasa satu terdapat tiga pakej yang mana pakej satu dan dua dalam penilaian manakala pakej ketiga sudah dianugerahkan kepada kontraktor berkaitan,” katanya.

Pada 10 November lalu, Izham memaklumkan pembinaan LRA Sungai Rasau yang membekalkan lebih 1,000 juta liter air sehari dijangka siap pada 2028 iaitu fasa pertama pada 2024 manakala fasa kedua empat tahun berikutnya.