Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kes Covid-19 murid sekolah rendah di Selangor terkawal

SHAH ALAM, 5 DIS: Kes positif Covid-19 melibatkan murid sekolah rendah di Selangor masih berada pada tahap terkawal, kata Pengarah Pendidikan Negeri Anismah M. Noh.

Beliau berkata ia berdasarkan rekod peratusan murid sekolah rendah yang disaring pada setiap Rabu di semua sekolah di negeri itu.

“Setakat ini untuk sekolah rendah, terdapat di setiap sekolah itu mungkin dua ke satu orang murid (positif Covid-19) apabila diuji pada setiap Rabu. Jadi memang ada. Dalam puluhan tetapi terkawal. Setelah murid itu positif, kita ikut tatacara operasi piawai (SOP) dan tindakan telah diambil.

“Kita ada lebih kurang 600 sekolah rendah di Selangor jadi setiap sekolah contohnya kalau ada 400 murid, 10 peratus daripada yang ada itu (perlu diuji) secara rawak setiap Rabu. Perhatian akan diberikan kepada murid yang nampak tidak sihat namun kita sudah maklumkan murid yang tidak sihat, tidak digalakkan datang ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi Majlis Guru Besar (MGB) Negeri Selangor 2021 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.

Terdahulu, Anismah berkata penganjuran majlis apresiasi berkenaan adalah bagi meraikan jasa guru-guru besar di negeri ini yang memainkan peranan hebat dalam dunia pendidikan dan juga majlis persaraan Yang Dipertua Majlis Guru Besar (MGB) Selangor Sukimin Juki.

-BERNAMA