Categories
AGENSI SELANGOR

Klinik Asas Bola Sepak cungkil bakat baharu, sasar 1,000 remaja

SHAH ALAM, 13 DIS: Seramai 1,000 peserta berusia antara 10 hingga 17 tahun disasarkan menyertai Klinik Asas Bola Sepak anjuran Team Selangor dan FA Selangor bagi mencungkil bakat baharu.

Ketua sekretariat Team Selangor berkata program mulai 4 Disember di Padang Awam Batu Caves akan berlangsung di tujuh lagi daerah hingga Mac depan, terhad 200 orang di setiap lokasi.

Syahaizel Keman yakin lebih ramai peserta tampil memeriahkan program berkenaan berdasarkan sambutan siri pertama sekali gus mencapai objektif mencari pelapis skuad Gergasi Merah.

“Klinik berkenaan diadakan di Stadium Mini Bandar Baru Kuala Selangor pada 18 Disember yang bakal menampilkan kehadiran seorang pemain Selangor FC bagi membakar semangat peserta.

“Untuk daerah lain kami akan umumkan lokasinya selepas mendapat pengesahan,” katanya.

Menurut Syahaizel, kanak-kanak dan remaja sekitar Kuala Selangor yang berminat menyertai klinik berkenaan diminta mendaftar segera menerusi pautan https://bit.ly/KlinikBolaSepakKualaSelangor.

Tambahnya, sebanyak dua sesi diadakan iaitu 9 pagi hingga 10.30 pagi bagi peserta 10 hingga 13 tahun manakala 10.30 pagi hingga 12 tengah hari untuk pemain 14 hingga 17 tahun.

“Penyertaan adalah percuma dan pendaftaran harus dibuat oleh ibu bapa atau penjaga,” katanya.