Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Koridor sejarah papar dokumen, barangan antik Sungai Way 

PETALING JAYA, 12 DIS: Kampung Baru Seri Setia yang dahulunya dikenali sebagai Sungai Way memiliki koridor sejarah yang mempamerkan pelbagai dokumen dan barangan antik untuk tatapan ramai.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata koridor pertama di Selangor itu perintis kepada kampung baru lain, dibangunkan atas parkir dewan milik Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

“Antara tarikan sejarah Sungai Way ini ialah dokumen bersejarah dan barangan antik melibatkan aktiviti penempatan seperti perlombongan bijih timah dan ladang getah.

“Koridor sejarah ini dibuka di kawasan parkir dewan serbaguna yang tidak digunakan kerana laluan masuk agak sempit, justeru inisiatif penduduk amat baik,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan koridor tersebut di Dewan Serbaguna Sungai Way hari ini. Turut hadir wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei dan Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Azmir.

Ng Sze Han turut menggalakkan komuniti setempat untuk mewujudkan koridor sejarah sendiri bagi berkongsi keunikan penempatan masing-masing yang perlu dipelihara.

“Tidak semestinya koridor sejarah ini diwujudkan di muzium, cukup dengan ada sudut untuk mempamerkan sejarah kawasan atau perkampungan tersebut,” katanya.