Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

KPDNHEP Selangor gerak 260 penguat kuasa, periksa pematuhan harga barang

PELABUHAN KLANG, 13 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menggerakkan sejumlah 260 penguat kuasa untuk menjalankan pemeriksaan pematuhan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dari 7 hingga 31 Dis ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pemantauan harga terus dipertingkat melalui Pegawai Pemantau Harga dan pemeriksaan turut difokuskan kepada pematuhan peniaga runcit terhadap penggunaan tanda harga khas warna merah jambu.

“KPDNHEP Selangor meliputi enam lagi cawangan komited berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di bawah skim ini,” katanya pada program ‘walkabout’ SHMKM Selangor di Pasar Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Mohd Zawawi berkata setakat 12 Dis, sebanyak 652 premis diperiksa termasuk 643 premis runcit dan sembilan premis borong dan pada tempoh itu tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap mana-mana peniaga.

“Bagaimanapun, terdapat satu aduan diterima oleh Pejabat KPDNHEP Sepang berhubung harga tauhu yang didakwa mahal dan notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) telah dikeluarkan kepada premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan turut mendapati peniaga gagal mengemukakan dokumen urus niaga belian tauhu daripada pembekal dan peniaga tersebut telah diarahkan untuk hadir ke Pejabat KPDNHEP Sepang untuk mengemukakan maklumat,” katanya.

Beliau berkata pengguna disaran mempraktikkan amalan ‘Bijak Adu’ seiring dengan hasrat KPDNHEP Selangor untuk mewujudkan pengguna bijak dengan mengemukakan butiran aduan yang lengkap berhubung salah laku peniaga di Selangor menerusi saluran aduan rasmi antaranya WhatsApp 019-279 4317, portal e-aduan.kpdnhep serta pusat panggilan 1-800-886-800.

– BERNAMA