Categories
AGENDA NASIONAL

KPM kaji cadangan wujud jawatan warden asrama sepenuh masa

IPOH, 12 DIS: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengkaji cadangan untuk mewujudkan jawatan warden sepenuh masa di sekolah berasrama bagi menangani pelbagai masalah termasuk kes buli.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon berkata ia perlu diperhalusi berdasarkan laporan penuh kes buli yang dilaporkan termasuk membabitkan pelajar tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar baru-baru ini.

“Terima kasih atas pandangan yang diberi tentang kes ini dan kita perlu menunggu laporan daripada pihak berkenaan sebelum apa-apa tindakan.

“Pihak kementerian akan membuat kajian lanjut berhubung pandangan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selepas menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Pemimpin Baharu Persatuan Lembaga-Lembaga Pengurus Sekolah Cina Perak hari ini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang dilaporkan berkata cadangan itu sudah dikemukakan pihaknya sekian lama serta berkali-kali membangkitkan isu berkenaan.

Aminuddin dilaporkan berkata guru yang menyandang tugas warden menjalankan tugas hakiki mengajar di sekolah namun pada masa sama menunaikan tanggungjawab menjaga dan mengawasi murid asrama sepanjang waktu.

Ditanya sama ada pihak kementerian akan mengadakan perbincangan bersama NUTP dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) berhubung cadangan itu, Dr Mah berkata sebarang tindakan lanjut perlu berpandukan kepada laporan terperinci berkaitan kes yang dilaporkan berlaku.

“Pada peringkat ini paling terbaik adalah kita tunggu laporan terperinci daripada pihak berkenaan. Apa-apa tindakan kena berpandu kepada apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Sehingga kini, polis menahan 10 pelajar berusia 13 tahun termasuk seorang yang berusia 15 tahun susulan tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai.

Kejadian dipercayai berlaku antara pukul 1 hingga 2 pagi 9 Dis lepas itu tular di media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, sehingga menerima kecaman orang ramai.

Sementara itu, beliau berkata siasatan lanjut turut sedang dijalankan berhubung satu lagi kejadian buli yang didakwa berlaku di sekolah berasrama di Pahang pada Jumaat minggu lepas dan KPM sedang menunggu laporan siasatan daripada pihak berkaitan.

Akhbar tempatan melaporkan empat pelajar dikurung di dalam sebuah bilik selama dua jam dan dijadikan seperti ‘karung tinju’ oleh sekumpulan lapan senior yang membelasah mereka selepas berang dengan tindakan mangsa menonton video melalui telefon bimbit.

Kejadian itu didakwa berlaku dengan kesemua mangsa berusia 14 tahun itu dikurung di dalam bilik sebelum dipukul, ditumbuk, disepak serta dikenakan hukuman rotan oleh sekumpulan pelajar tingkatan empat dan lima.

Mengenai majlis yang dihadiri pada hari ini, Dr Mah berkata antara isu yang dibicangkan termasuklah cara-cara memastikan pengukuhan serta pemulihan pembelajaran dan pengajaran di sekolah semasa pandemik Covid-19.

-BERNAMA