Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lantikan berdasar prestasi, 41 peratus penjawat awam negeri wanita

SHAH ALAM, 3 DIS: Sebanyak 41 peratus penjawat awam di Selangor setakat 9 November lalu adalah wanita, kata EXCO pembangunan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata daripada jumlah itu, 28 peratus adalah pegawai gred 52 dan ke atas yang terlibat sebagai pembuat keputusan.

“Kerajaan Negeri pada masa ini tidak memperuntukkan sebarang kuota jantina di bawah mana-mana jabatan, agensi atau portfolio untuk mengisi jawatan.

“Bagi semua kategori lantikan, pengambilan kakitangan adalah berdasarkan keperluan jabatan dan juga kompetensi mereka,” katanya hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin sama ada terdapat kuota jantina di jabatan, agensi atau portfolio di bawah Kerajaan Negeri dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Sementara itu, ditanya mengenai langkah meningkatkan prestasi kepimpinan wanita, Siti Mariah berkata pentadbiran sentiasa menilai kebolehupayaan, prestasi dan kompetensi individu bagi menjawat jawatan berkepentingan.

“Jika seseorang itu berprestasi tinggi maka pentadbiran ini akan melantik tanpa sebarang diskriminasi kepada jantina bagi menjawat jawatan ketua jabatan.

“Ini turut merangkumi pentadbiran awam negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri. Berdasarkan data perjawatan semasa terdapat dua pegawai daerah wanita dan seorang yang dipertua wanita,” katanya.