Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan sekolah Kafa-i dapat komputer sumbangan MBI

HULU SELANGOR, 7 DIS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang 24 unit komputer kepada lapan sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (Kafa-i) di Hulu Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek berkata setiap sekolah menerima tiga unit komputer bernilai RM2,500 setiap satu dengan kos keseluruhan RM60,000.

“Sumbangan ini bagi memudahkan pengurusan sekolah mendidik murid di samping menyokong usaha Kerajaan Selangor ke arah pendigitalan,” katanya selepas menyerahkan peranti terbabit di Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Bharu hari ini.

Sekolah yang menerima sumbangan ialah Kafa-i Seri Kledang, Kafa-i Kampung Serigala, Kafa-i Sungai Tengi Selatan dan Kafa-i Intifaqiah Lembah Beringin.

Turut mendapat bantuan termasuk Kafa-i Kampung Kuantan, Kafa-i Ar Raudhah, Kafa-i Bukit Sentosa Fasa 3 dan Kafa Kampung Batu 30.

Mengulas perancangan tahun depan, Norita berkata pihaknya bercadang menjelajah ke sekolah Kafa-i di setiap daerah untuk mengagihkan bantuan sama.

Sebelum ini, MBI pernah memberi sumbangan baik pulih sekolah dan program Ihya Ramadhan kepada sekolah Kafa-i di negeri ini.