Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 13,000 tan sampah banjir dikutip, libat kewangan RM6 juta

SHAH ALAM, 27 DIS: KDEB Waste Management (KDEBWM) mengutip sebanyak 13,699.55 tan sampah susulan banjir teruk di beberapa daerah negeri ini minggu lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan kerja oleh anak syarikat Kerajaan Negeri melibatkan dampak kewangan berjumlah RM6.031 juta.

“Kita anggarkan pembersihan ini berterusan dan sampah bertambah banyak selain melaksanakan proses penutupan jalan untuk melancarkan kutipan sampah,” katanya dalam sidang media semalam.

Sementara itu, beliau berkata jalan di sekitar Hulu Langat ditutup selama dua jam mulai 8 pagi setiap Isnin hingga Khamis bagi melancarkan kutipan sampah.

“Justeru, orang ramai termasuk sukarelawan diminta bersabar dan memilih waktu lain untuk ke kawasan terbabit,” katanya.

KDEBWM membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak 19 Disember lalu secara berperingkat yang dijangka selesai dalam tempoh seminggu lagi.

Bermula semalam, operasi pembersihan dilanjut sehingga malam untuk mempercepatkan kutipan sampah pukal pascabanjir terutama di kawasan kritikal.