Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 300,000 dos vaksin percuma diberi menerusi Selvax Komuniti

SHAH ALAM, 8 DIS: Sejumlah 312,928 dos atau 156,464 individu menerima manfaat program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti secara percuma sehingga 3 Disember.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bagi Selvax Remaja pula, sebanyak 3,572 dos atau 1,786 individu menerima manfaat dalam tempoh sama.

“Selain itu, untuk Selvax Industri baki dos vaksin yang masih belum dijual adalah sebanyak 537,045 dos sehingga 1 November lalu.

“Objektif utama pelaksanaan program Selvax adalah untuk memastikan kadar imunisasi rakyat Selangor dipercepatkan tanpa mengira latar belakang bangsa, agama mahupun fahaman politik,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran berhubung jumlah penerima vaksin percuma menerusi program Selvax dalam sidang Dewan Negeri Selangor DNS hari ini.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapi dan mempercepatkan proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Selvax Komuniti menyasarkan warga emas, golongan berpendapatan rendah dan penerima skim Inisiatif Peduli Rakyat manakala Selvax Industri memfokuskan pekerja termasuk warga asing.

Selvax bergerak pula dijalankan 12 September menggunakan bas dan van bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Pada 7 Oktober, Amirudin mengumumkan Selvax Remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Semalam Kerajaan Negeri mengumumkan pemberian 157,000 dos penggalak secara percuma menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) Booster mulai esok.

Inisiatif berkenaan menjadi pelengkap kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk memberi perlindungan kepada seramai mungkin individu.