Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 33,000 daftar SELangkah, mahu dapatkan dos penggalak

SHAH ALAM, 14 DIS: Seramai 33,358 individu melakukan pra daftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi menyertai program Vaksin Selangor (Selvax) Booster setakat semalam.

EXCO kesihatan awam berkata pendaftaran perlu dilakukan awal bagi mengelak kesesakan di 13 Klinik Selcare malah bermula semalam pihaknya tidak lagi menerima individu tidak berdaftar.

“Kita hadkan setiap klinik beri 150 dos sehari dengan dua doktor penyuntik. Bagaimanapun ada klinik yang ambil lebih sehingga 200 dos kerana menjadi tumpuan ramai seperti di Selcare Puchong dan Skypark.

“Sambutan hari pertama di luar jangkaan. Rupanya ramai individu mahukan Sinovac sebab mahu vaksin campuran selepas baca info ketahanannya lebih kuat,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara: Dos Penggalak Langkah Lindungi Diri yang disiarkan di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor malam ini.

Dr Siti Mariah berkata Kerajaan Negeri memutuskan pelaksanaan inisiatif berkenaan di Klinik Selcare sahaja selepas dimaklumkan pemberian dos penggalak menerusi MySejahtera kurang mendapat sambutan.

“Memadailah di Klinik Selcare dan panel. Kalau tak kita rugi macam Selvax Remaja. Kita siapkan (pusat pemberian vaksin) tapi yang datang sikit.

“Klinik yang sesak boleh minta bantuan Suka (Sukarelawan Komuniti Kesihatan Selangor) untuk bantu. Ini memudahkan urusan suntikan,” katanya.

Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma menerusi program Selvax Booster mulai 8 Disember.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos vaksin boleh mendapatkannya di Klinik Selcare berdekatan.

Senarai klinik yang terlibat boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinics/ atau melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).