SHAH ALAM, 20 DIS: Lebih 500 mangsa banjir di Bukit Changgang yang terkandas berjaya diselamatkan menggunakan bot setakat 9.55 malam tadi.
Mereka kini ditempatkan di Masjid KLIA, maklum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengenai situasi terkini operasi menyelamat mangsa banjir di Kuala Langat.
“Lebih 500 mangsa telah dikeluarkan dan ditempatkan di Masjid KLIA ada sebahagian yang tinggal akan dibawa keluar esok.
“Dengan bantuan 15 buah bot setakat ini, kita akan tambah lagi dengan aset yang ada pada polis dan tentera,” katanya menerusi Facebook.
Sementara itu menerusi Twitter, Amirudin berkata kerja menyelamat mangsa terperangkap akibat banjir akan diteruskan di Taman Sri Ehsan dekat Banting esok.
“Taman Sri Ehsan pula esok akan mobilisasi lori lima tan dan 10 tan untuk bawa keluar mangsa yang terperangkap.
“Fokus kita sekarang menumpu di kawasan terbabit. Esok awal pagi akan turut bersama team penyelamat,” katanya.