Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 56,000 individu terkesan Covid-19 terima manfaat zakat Selangor

SHAH ALAM, 18 DIS: Lebih 56,000 individu negeri ini yang terkesan akibat Covid-19 menerima manfaat program Zakat Selangor Peduli (ZSP), kata Mohd Sabirin Mohd Sarbinu.

Ketua divisyen operasi bahagian asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata bantuan sejak Julai merangkumi 19 inisiatif itu melibatkan belanja kira-kira RM60 juta setakat ini.

“Bantuan tidak hanya kepada asnaf sebaliknya orang awam yang terkesan. Antara bantuan adalah pemberian RM500 kepada individu terkesan sebanyak tiga kali dan bayaran sewa rumah.

“LZS turut membantu lebih 200 maahad tahfiz dari segi pembayaran sewa, bil air dan elektrik. Kita turut membantu proses sanitasi surau dan masjid selain bantuan makanan kering kepada pasukan baris hadapan,” katanya.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara: Pedulikah Zakat Selangor? yang disiarkan di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor malam tadi.

Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta menjayakan program ZSP yang menyediakan 19 inisiatif bantuan dan memanfaatkan 59,322 penerima serta 431 institusi di Selangor.

Sementara itu beliau berkata LZS akan mengeluarkan buku silibus zakat untuk pelajar sekolah rendah sebagai langkah mendidik generasi akan datang.

“Bagi memudahkan orang ramai membayar zakat, LZS turut memudahkan cara pembayaran termasuk pemotongan akaun secara automatik dan bayaran dalam talian di beberapa platform,” katanya.