Categories
SELANGOR

Lebih 600 keluarga pegawai, anggota polis Selangor terjejas banjir

SHAH ALAM, 27 DIS: Sebanyak 632 keluarga pegawai dan anggota polis di Selangor terjejas dan menjadi mangsa banjir yang melanda negeri itu minggu lalu, kata Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Ramli Din.

Beliau berkata daripada jumlah itu kawasan pentadbiran polis di Klang Utara, Shah Alam dan Kajang antara yang paling banyak terjejas termasuk Balai Polis Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini.

“Boleh dikatakan semua daerah di Selangor (pegawai dan anggota menjadi mangsa banjir), sebab warga PDRM ini mereka tinggal merata tempat. Ada yang menyewa dan ada yang membeli rumah sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Penyampaian Bantuan kepada Mangsa Banjir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Ramli berkata kesemua pegawai dan anggota polis negeri ini yang terkesan, akan dibantu menerusi penyaluran bantuan beras daripada program tersebut seberat 15 tan daripada empat syarikat dan seorang individu.

Beliau berkata Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) turut memberi sumbangan pakaian baharu kepada mangsa banjir.

Mengulas laporan akhbar mengenai kehadiran pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ yang mula menawarkan pinjaman kepada mangsa banjir di sekitar kawasan bencana di negeri ini, beliau percaya Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed telah mengambil tindakan dalam hal terbabit.

Ramli berkata pihaknya juga akan menggunakan semua sumber dan bantuan dari segi nasihat serta keselamatan dalam membanteras sindiket itu.

-BERNAMA