Categories
AGENSI SELANGOR

Lelaki cuba redah banjir ditemukan lemas

SEPANG, 21 DIS: Hasrat seorang lelaki yang sanggup meredah banjir bagi mencari tempat selamat selepas kawasan perumahannya dilanda banjir tidak kesampaian, apabila dia ditemukan mati lemas di perkarangan perumahannya di Flat Taman Permata, Dengkil semalam.

Mayat V Kanniappan, 52, ditemui dalam keadaan terapung oleh seorang wanita kira-kira 7 pagi di kawasan bawah Blok C flat berkenaan, yang masih digenangi air setinggi dua meter sejak Sabtu (18 Disember).

Menurut Ketua Komuniti Flat Taman Permata G Ramadass, mangsa meninggalkan rumahnya di Blok D flat berkenaan pada pagi Ahad untuk ke rumah adik lelakinya di Taman Dengkil Jaya yang tidak terjejas akibat banjir, namun perlu meredah banjir untuk ke sana.

Menurut Ramadass, kawasan perumahan itu didiami hampir 400 keluarga tidak dapat keluar dari kediaman masing-masing akibat kejadian banjir sejak Sabtu, selain terputus bekalan elektrik.

“Anggota keluarga ingat beliau sudah tiba di rumah saudara. Mangsa juga tidak dapat dihubungi kerana masalah telekomunikasi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.

Ramadass berkata anak mangsa juga bertindak mencari bapanya setelah menyedari kehilangannya, apabila tidak sampai ke rumah saudaranya itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata pihaknya telah menyerahkan mayat yang ditemui terapung di bawah Blok C flat berkenaan kepada pihak polis, selepas menerima laporan mengenainya pada 7.56 pagi.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof yang mengesahkan kejadian itu berkata pemeriksaan terhadap mangsa telah dijalankan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan didapati tiada sebarang kecederaan ditemui pada badannya.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Serdang bagi ujian saringan awal Covid-19 sebelum bedah siasat dibuat.

Dalam kejadian berasingan, Wan Kamarul berkata mayat seorang lelaki 26 tahun yang hilang pada Sabtu lepas selepas mangsa dikatakan meredah banjir untuk mengambil barang di rumahnya, ditemui berdekatan kawasan tali air di Taman Salak Pekerti semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, paras air dikatakan berada di paras dada sebelum mangsa hilang.

Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Serdang bagi ujian saringan awal Covid-19 dan urusan bedah siasat.

– BERNAMA