SHAH ALAM, 31 DIS: Lima pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di Selangor masih beroperasi setakat 8 pagi tadi.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Twitter memaklumkan PPS itu membabitkan tiga daerah yang terkesan musibah pada 18 Disember lalu.
“Lima PPS sedang dioperasikan melibatkan 134 keluarga dan 479 orang mangsa,” menurutnya hari ini.
Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden terbabit dua minggu lalu.
Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.
Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke PPS berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.