Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LRA Langat 2 dan Sungai Langat pulih, lebih 100 kawasan terjejas terima bekalan

SHAH ALAM, 21 DIS: Lebih 100 kawasan di Hulu Langat yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan bekalan dari Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 dan LRA Sungai Langat, telah pulih sepenuhnya.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan kedua-dua LRA dan LRA Semenyih 2 telah mula beroperasi dan sehingga jam 9 pagi, pemulihan bekalan air di kawasan terjejas mencapai tahap 38.8 peratus.

Manakala bagi LRA Cheras Batu 11, menurutnya, proses pembersihan dan penilaian kerosakan berikutan insiden banjir sedang dilaksanakan serta jangkaan untuk LRA itu beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini.

“Bantuan alternatif melalui tangki air masih lagi digerakkan secara berperingkat ke kawasan terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Air Selangor juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki,” katanya menerusi kenyataan.

Selain Hulu Langat, beberapa kawasan terjejas di Petaling dan Kuala Lumpur kini kembali menerima bekalan air sepenuhnya.

Pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang telah pulih menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor.

Menurut agensi itu, pihanya akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

Orang ramai boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Air Selangor juga menggalakkan pengguna untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Pusat Bantuan yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.